Berita Utama

Isu bak kut teh: ISMA gesa Kerajaan Madani pelihara identiti negara

Ikut prinsip kebudayaan dan warisan negara bukan langgar

BANGI, 19 Zulkadah 1444H, Khamis – Kerajaan Madani perlu memandang serius cadangan kontroversi mengangkat hidangan tradisi masyarakat Cina – bak kut teh – sebagai makanan kebangsaan.

Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, isu ini sepatutnya mudah sahaja untuk diputuskan memandangkan negara sudah ada prinsip-prinsip berkenaan warisan dan kebudayaan negara.

“…ikut sahajalah prinsip-prinsip tersebut. Negara buat prinsip, Ahli Parlimen nak langgar prinsip.

“Kebudayaan dan warisan sepatutnya merujuk kepada budaya dan warisan rantau Melayu yang luas ini. Juga merujuk kepada Islam sebagai agama Persekutuan.

“Budaya luar, walaupun ada ruang untuk dimasukkan sebagai budaya kebangsaan, ianya mestilah sesuai dengan budaya dan warisan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Fauzi tidak menolak isu dibangkitkan ini cubaan pihak tertentu untuk mengukuhkan naratif mereka yang akhirnya sedikit demi sedikit membawa kepada perubahan identiti negara seperti pertukaran nama jalan.

“Tanpa kita sedari sebelum ini pun, perayaan wangkang yang tiada kena mengena dengan budaya rantau Melayu telah pun diangkat oleh negara ke UNESCO untuk dijadikan sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan beberapa tahun lepas.

“Pulau Jerjak mereka promosikan di negara luar sebagai Pulau Mazu dan mereka letak patung Dewa Mazu di situ. Sungai Batu mereka dakwa warisan India.

“Sampai Parameswara pun mereka pernah nafikan kemelayuannya dan mereka katakan dia orang berbangsa India. Dan selepas ini tidak tahu apa pula yang akan dicadangkan oleh mereka,” katanya.

Serentak itu beliau menggesa kerajaan tegas menjaga imej, ‘etos’ serta identiti negara.

“Tolonglah serius sikit dalam bab ini.

“Daripada kita angkat bak kut teh, baik kita isytiharkan sup ekor sebagai makanan kebangsaan. Lagi sedap,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan supaya bak kut teh diangkat martabatnya sebagai makanan kebangsaan dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain.

Bagaimanapun pandangannya mendapat kritikan pembangkang di Dewan Rakyat
apabila Ahli Parlimen Langkawi mempersoalkan kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan.

Bak kut teh adalah hidangan sup tradisi tulang rusuk babi yang dimasak dalam herba tradisi yang popular di kalangan masyarakat Cina.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/06/08/bak-kut-teh-mp-tebrau-kurang-ajar-cadangan-halus-hakis-imej-islam/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button