Isu UMNO-DAP bukan soal minta maaf tapi perjuangan
Kenyataan ultra kiasu mengenai Melayu, Islam amat melukakan hati

BANGI, 19 Zulkadah 1444H, Khamis – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dilihat masih mentah mengenai sejarah dan perjuangan parti itu, apabila hanya mendesak DAP memohon maaf terhadap segala tohmahan yang dilemparkan kepada UMNO selama ini.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, isu utama UMNO dan DAP bukan mengenai minta maaf sebaliknya perjuangan mereka.
“Apabila pimpinan Ketua Pemuda UMNO mahu DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas ‘dosa-dosa’ yang dilakukan terhadap orang Melayu dan Islam, saya hanya menggelengkan kepala.
“Isu UMNO-DAP bukan soal minta DAP minta maaf, lebih besar daripadanya adalah soal perjuangan.
“Perjuangan UMNO dan DAP ternyata jauh bertentangan. UMNO mahukan hak Melayu Islam dipelihara atau diberikan keistimewaan, sedangkan ultra kiasu DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia, sama rata sama rasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rentetan itu, Prof Ridhuan Tee menasihatkan Pemuda UMNO ‘membaca’ sejarah dan perlembagaan serta perjuangan nenek moyang mereka ketika bersama UMNO.
“Ini soal perjuangan. Bukan soal minta maaf. Minta maaf, boleh dibuat bila-bila masa, kemudian minta maaf lagi. Inilah budaya politik hari ini.
“Masalah Melayu atau ahli UMNO dengan DAP adalah isu perjuangan. Sama juga ketika PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, isunya soal perjuangan. Sebab itu, PAS terpaksa membuat keputusan, meninggalkan parti ultra kiasu ini.
“Kenyataan ultra kiasu, mengenai Melayu dan Islam amat melukakan hati, terutama Melayu UMNO. Luka ini masih berdarah dan bernanah, sukar untuk disembuhkan dalam sekelip mata, meskipun pimpinan UMNO boleh memadamkan begitu sahaja,” katanya.
Beliau turut menyarankan sekiranya perjuangan UMNO yang mahu memartabatkan Islam dan Melayu, parti-parti yang mirip untuk didekati ialah PAS mahupun Bersatu.
“Kenapa PAS boleh bersama Bersatu sehingga ke hari ini? Begitu juga Proklamasi Melayu pimpinan Tun Dr Mahathir?
“Jawapan mudah, perjuangan yang mirip sama, saling tidak bertentangan, mahu memartabatkan Melayu dan Islam. Tetapi bukan bersama DAP dan PKR, kerana satu perjuangkan Malaysian Malaysia, satu lagi parti memperjuangkan liberalisme.
“Jika UMNO mahu lama bersama DAP dan PKR, minta mereka pinda buang jauh-jauh perjuangan Malaysian Malaysia dan perjuangan liberalnya. Itu sahaja resepi untuk UMNO berkahwin lama dengan DAP dan PKR. Jika tidak, kita tunggu dan lihat,” katanya.