Berita Utama

Semua taska di Negeri Sembilan wajib pasang CCTV

Langkah berjaga-jaga untuk elak lebih banyak kes dera

SEREMBAN, 19 Zulkadah 1444H, Khamis – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diwajibkan kepada semua taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang berdaftar di Negeri Sembilan sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sesuatu kejadian membabitkan kanak-kanak atau bayi.

EXCO Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon, berkata, ketetapan itu dikenakan ke atas taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali yang beroperasi di rumah.

“Arahan ini berkuat kuasa mulai 8 Jun 2015 melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia mengenai pelaksanaan pemasangan CCTV.

“Selaras arahan pekeliling ini, mana-mana taska yang mengemukakan pendaftaran disyaratkan wajib memasang CCTV termasuk di Negeri Sembilan. Ia sebagai langkah pencegahan kejadian seperti pengabaian, penderaan dan kes tersedak susu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nicole berkata, terdapat 138 taska yang berdaftar di Negeri Sembilan sehingga Mei lalu.

“Mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, pegawai JKM dilantik sebagai Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) yang bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipan di bawah Akta 308 iaitu mengadakan pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan ke atas taman asuhan kanak-kanak.

“PDBK di peringkat negeri dan daerah akan melaksanakan pemantauan sebanyak dua kali setahun di semua taska yang berdaftar.

“Daerah Seremban merekodkan jumlah taska berdaftar paling banyak iaitu sebanyak 101, diikuti Port Dickson (13), Tampin (11), Jempol (7), Rembau (4), Jelebu (1) dan Kuala Pilah (1),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat 54 taska tidak berdaftar di negeri ini iaitu 47 di Seremban, tiga di Jempol dan masing-masing dua di Kuala Pilah serta Port Dickson.

“Antara sebab dan alasan yang sering menjadi faktor kepada ketidakpatuhan untuk mendaftarkan taska ialah masalah di peringkat pengendali dan sokongan di peringkat agensi teknikal.

“Pihak JKM akan membantu dan memberikan khidmat nasihat kepada pihak pengusaha taska dalam urusan pendaftaran taska.

“Pengusaha dan bakal pengusaha boleh hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk sebarang pertanyaan.

“Bakal pengusaha dinasihatkan untuk berdaftar terlebih dahulu sebelum beroperasi bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini mungkin berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button