1,080 taska dikesan tidak berdaftar secara sah
Rancang wujud pangkalan data pengusaha taska seluruh negara, bantu ibu bapa buat pilihan

BANGI, 20 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Sebanyak 1,080 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di negara ini dikesan tidak berdaftar setakat penghujung Disember tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah ini amat membimbangkan kerana membabitkan aspek keselamatan kanak-kanak yang dihantar di premis berkenaan.
“Setakat ini, sebanyak 3,005 taska yang berdaftar di seluruh negara dan kita turut mengesan kewujudan 1,080 taska yang belum berdaftar.
“Angka 1,080 itu yang hanya kita tahu, tetapi jumlahnya kemungkinan lebih besar daripada itu. Sebab itu ia sangat membimbangkan,” katanya.
Nancy memberi jaminan akan membawa isu berkenaan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan selepas mendapati ada pihak yang mengendalikan tadka mahu berdaftar secara sah.
Namun, ekoran perlu berdepan pelbagai karenah birokrasi membabitkan isu teknikal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan mereka membatalkan hasrat tersebut.
“Saya akan cuba usulkan isu ini kepada rakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk memudahcara pengusaha taska beroperasi secara sah.
“Kita faham dengan syarat yang ditetapkan PBT, namun adalah tidak adil untuk menyalahkan PBT kerana syarat yang diletakkan adalah untuk menjamin keselamatan penghuni taska berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kementeriannya turut merancang untuk mewujudkan pangkalan data pengusaha taska di seluruh negara bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pusat asuhan berkenaan.
Kewujudan pangkalan data secara berpusat itu diyakini mampu menyalurkan maklumat dan membantu ibu bapa memilih taska bersesuaian sebelum menghantar anak mereka.
“Itu masih dalam perancangan dan ia lebih kepada data pengasuh sebab sebelum ini kita masih belum ada data berpusat dan sebelum ini ibu bapa hanya menghantar anak mereka berdasarkan maklumat `dari mulut ke mulut’,” katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, perkara berkenaan masih dalam perancangan dan ia memerlukan kajian, peruntukan kewangan.