Berita Utama

Bak kut teh: Berhenti beri cadangan mengarut

Kerajaan lemah, banyak perkara sensitif tak dapat tangani dengan berhemah

BANGI, 20 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menempelak kenyataan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang mencadangkan mengangkat bak kut teh sebagai makanan kebangsaan.

Bak kut teh adalah hidangan sup tradisi tulang rusuk babi yang dimasak dalam herba tradisi yang popular di kalangan masyarakat Cina.

Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mempersoalkan sama ada Jimmy bersifat kurang ajar atau sengaja mengambil kesempatan ke atas kelemahan Perdana Menteri yang gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sehingga terpaksa bergabung dengan parti lawan (sebelum pilihanraya).

“Kamu adalah wakil rakyat, apabila sudah menjadi wakil rakyat ianya menjadi wakil kepada rakyat dan di tempat kamu bukan sahaja ada bangsa kamu tetapi saya percaya ada juga yang berbangsa Melayu.

“Kamu adalah wakil kepada semua bangsa di tempat kamu. Gaji kamu rakyat yang bayar,” katanya dalam satu kenyataan.

Atas dasar itu, Irwan berkata, Perkasa mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen agar berhenti memberi cadangan mengarut dan seolah-olah tidak mempunyai ‘otak’, selain tidak menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Sekiranya ada cadangan, ia perlulah munasabah dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat apatah lagi bersabit dengan hukum-hakam sesuatu makanan.

“Kepada Ahli Parlimen Malaysia tolong belajar untuk menghormati umat Islam di negara ini. Inilah akibat daripada kerajaan yang lemah, sehingga banyak perkara sensitif tidak dapat ditangani dengan berhemah.

“Lagi sekali saya ingatkan kepada Ahli Parlimen Tebrau apakah parti kamu tidak mengajar kamu supaya menghormati agama kaum majoriti di negara ini?,”soalnya.

Selain itu, Irwan menggesa Kerajaan Madani bergerak dengan lebih profesional dan proaktif bagi menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti isu harga ayam.

“Dulu, bila harga ayam melambung, kerajaan gesa agar rakyat jangan makan ayam.

“Bila harga babi naik kerajaan kata akan bawa isu kenaikan harga babi ke mesyuarat Kabinet? Apakah turun naik harga babi kini menjadi masalah kepada kerajaan ketika ini berbanding dengan kehidupan rakyat ketika ini?

“Dan juga selesaikan isu rakyat Singapura yang mengisi minyak subsidi yang terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Jimmy mengajukan soalan pada sesi Dewan Rakyat mengenai usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh, dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button