Mahu Pulau Pinang jadi Singapura kedua punca kerajaan negeri gelabah?
Sejauh mana nasib Melayu Islam dalam pengurusan negeri dibela

BANGI, 20 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Isu dakwaan Pulau Pinang adalah milik Kedah bukanlah satu isu yang besar selagi mana negeri itu tidak keluar dari Malaysia.
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, perkara yang perlu menjadi perhatian utama adalah sejauh mana kerajaan Pulau Pinang sekarang membela Melayu Islam dalam pengurusan dan pembangunan negeri itu.
Ia termasuk isu pengambilalihan 29 kampung Melayu, keluasan tanah wakaf Islam, Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang menghimpit kaum Melayu serta menjadi kebimbangan berasas yang dirasai oleh penduduk Melayu di sana.
“Adakah di sana terdapat usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Singapura Kedua? Soalan saya, bukan tuduhan.
“Kalau ada hasrat itu, logiklah kerajaan Pulau Pinang jadi menggelabah tak tentu hala bila timbul isu Pulau Pinang duduk di bawah Kedah.
“Dalam keadaan Pulau Pinang sebagai negeri sendiri pun susah nak keluar, kalau duduk bawah Sultan Kedah mereka perlu lupakanlah terus hasrat tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Ustaz Fauzi yakin isu ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia untuk berbincang secara baik.
“Boleh buka dokumen-dokumen sejarah seperti perjanjian 1786 atau perjanjian 1869. Tapi bacalah dokumen itu dengan segala latar belakang peristiwa yang melatarinya. Boleh kaji juga perisitiwa 1791, ketika Sultan Abdullah cuba mengambil kembali Pulau Pinang dan fahamilah apa maksud peristiwa itu.
“Sempadan pajakan juga perlu dikaji seluas mana dan adakah ianya sama seperti sempadan Pulau Pinang sebagai negeri sekarang,” katanya.
Tegasnya, penipuan dan muslihat yang berlaku dalam perjanjian-perjanjian itu sepatutnya dijadikan asas untuk memahami pula Perlembagaan 1948 dan 1957.
Bahkan, pembentukan Malaysia 1963 juga tidak boleh dipisahkan daripada segala latar belakang sejarah yang berlaku itu.
“Undang-undang dan sejarah tidak sepatutnya terpisah,” katanya.
Selain itu, Ustaz Fauzi menyifatkan kebimbangan disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ancaman Siam – Thailand – sekiranya sejarah dirungkai boleh dianggap sesuatu yang luar biasa.
“Dan dalam apa juga keadaan pun, kenyataan PMX tentang ancaman Siam mengambil alih Kedah, Perlis, itu lagi luar biasa daripada isu Pulau Pinang duduk bawah Kedah.
“Kalau Siam yang menceroboh pun diandaikan boleh ambil Kedah, maka Pulau Pinang lagi logiklah boleh duduk bawah Kedah.
“Tiba-tiba saja. Jauh sangat perginya,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menggesa Menteri Besar Kedah atau mana-mana pemimpin tidak lagi membicarakan isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang.
Perdana Menteri berkata, tuntutan dan percubaan untuk merungkaikan perjanjian kedaulatan sedia ada boleh menyebabkan pihak lain seperti kerajaan Thailand yang dahulunya Siam menuntut wilayah Kedah atau Perlis berdasarkan perjanjian silam.