Berita Utama

UMNO kecewakan orang Melayu

Jangan hairan jika orang Melayu tak lagi percaya kerajaan hari ini: BERJASA

BANGI, 20 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Pengundi Melayu kini kecewa dengan kerajaan Madani yang lemah dalam menguruskan negara termasuk gagal menjaga kebajikan rakyat dalam isu kos sara hidup, sensitiviti agama melibatkan kalimah Allah termasuk kelemahan melindungi nilai mata wang ringgit.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, kekecewaan terbesar orang Melayu adalah melihat Presiden UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dan membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga memberikan ruang kuasa mentadbir negara kepada DAP.

“Pendirian kerajaan sekarang di mata pengundi Melayu amat lemah walaupun terdapat parti UMNO di dalam komponen kerajaan sekarang.

“Bukan setakat ekonomi, isu seperti penarikan rayuan kalimah Allah juga menampakkan kerajaan tidak serius menjaga sensitiviti umat Islam.

“UMNO dilihat tidak mampu menyeimbangkan naratif yang dibawa oleh DAP dan menampakkan UMNO tidak dominan di dalam kerajaan untuk memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.

Fahmi berpandangan, kebergantungan orang Melayu terhadap kerajaan kini mungkin bakal beransur-ansur beralih.

Malah, orang Melayu sudah mula menyokong pihak pembangkang yang dilihat lebih kompeten untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Jangan hairan jika orang Melayu tidak lagi mempercayai kerajaan sekarang di atas kelemahan pentadbiran ini.

“Harapan pengundi untuk melihat ekonomi pulih semakin pudar kerana kegagalan menguruskan ekonomi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button