Dunia

Gunung berapi Anak Krakatau meletus dua kali

Muntahkan abu setinggi 3,000 meter ke udara

JAKARTA, 21 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia meletus dua kali dalam tempoh masa lebih satu jam pada Jumaat, dengan memuntahkan abu setinggi 3,000 meter ke udara, menurut agensi vulkanologi negara itu.

Gunung berapi itu meletus pada 7.46 pagi waktu tempatan pada Jumaat, sebelum memuntahkan abu sekali lagi 62 minit kemudian.

Imej selang masa yang dikongsi agensi itu menunjukkan pelebaran awan besar yang berkepul-kepul dari gunung berapi dan bergerak ke barat daya.

Anak Krakatau setinggi 157m – terletak di Selat Sunda Indonesia antara pulau Jawa dan Sumatera – telah meletus lebih 10 kali sejak Mac tahun ini.

Penempatan terdekat dengan gunung berapi itu adalah sejauh 16.5 kilometer.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan tahap amaran kedua tertinggi, namun tiada arahan pemindahan dan menasihatkan pelancong serta penduduk untuk tidak mendekati atau mendaki gunung berapi itu.

Menurut agensi volkanologi, Indonesia terletak di ‘Ring of Fire’ Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.

Letusan Anak Krakatau pada Disember 2018 mencetuskan tanah runtuh di bawah air yang membawa kepada tsunami di wilayah Banten, Jawa Barat dan Lampung yang mengorbankan sekurang-kurangnya 430 nyawa.

Setakat Jumaat, empat gunung berapi Indonesia berada pada tahap berjaga-jaga kedua tertinggi, termasuk Anak Krakatau, Merapi di Jawa Tengah, Semeru di Jawa Timur dan Karangetang di Sulawesi Utara.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button