Krisis Sudan: Pihak bertelagah setuju gencatan senjata 24 jam
Pergerakan tanpa halangan, bantuan kemanusiaan dibenarkan

RIYADH, 21 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Pihak yang bertelagah di Sudan bersetuju dengan gencatan senjata 24 jam di seluruh negara bermula 10 Jun, menurut kenyataan Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) semalam.
“Kerajaan Arab Saudi dan Amerika Syarikat mengumumkan bahawa wakil Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) bersetuju dengan gencatan senjata 24 jam di seluruh negara bermula pada 10 Jun 6 pagi waktu Khartoum.
“Pihak-pihak ini bersetuju bahawa gencatan senjata mereka akan menahan diri daripada melakukan pergerakan yang dilarang, serangan, penggunaan pesawat atau dron, pengeboman udara, serangan artileri, pengukuhan kedudukan dan membekal senjata serta mengelak mencari kelebihan ketenteraan ketika tempoh itu,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Arab Saudi di akaun media sosial.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membenarkan pergerakan tanpa halangan dan penyaluran bantuan kemanusiaan ke seluruh negara.
Dalam kenyataan sama, Arab Saudi turut mengeluarkan amaran terhadap pihak bertelagah supaya mematuhi tempoh pelaksanaan gencatan senjata itu.
“Sekiranya pihak-pihak ini gagal mematuhi gencatan senjata 24 jam, fasilitator akan terpaksa mempertimbangkan untuk menangguh rundingan Jeddah,” katanya.
Gencatan senjata lebih awal yang dibuat Arab Saudi dan AS gagal sebelum ini, selepas kedua-dua pihak saling menuduh satu sama lain melakukan pelanggaran serius terhadap tindakan itu.
White House juga memberi amaran bahawa sekatan akan dikenakan ke atas syarikat pertahanan utama dan mereka yang mengekalkan keganasan di Sudan kerana pihak bertelagah gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata.
Sudan menjadi huru-hara selepas pertempuran meletus pada April antara tentera negara itu, Jeneral Abdel Fattah Burhan dan timbalannya, bekas Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo.- Agensi