Wanita Gaza tukar sisa fabrik jadi barangan harian
Tekstil dan kulit diubah sebagai projek 'Jarum dan Benang'

RAMALLAH, 21 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Sekumpulan wanita di Semenanjung Gaza yang terkepung memproses pelbagai sisa fabrik dan pakaian untuk menghasilkan barangan yang boleh digunakan semula sebagai sebahagian daripada projek kitar semula.
Sisa tekstil dan kulit diubah sebagai sebahagian daripada projek ‘Jarum dan Benang’.
Ketua projek, Inas El-Gul, seorang jurutera pertanian berkata, idea tersebut bermula di kawasan luar bandar, di mana jumlah sisa adalah sangat tinggi.
“Saya hairan mengapa sisa itu begitu banyak, jadi saya bertanya kepada kaum wanita mengapa mereka membuang semua ini dan mereka berkata kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya.
“Jadi, saya mengambil dan melatih mereka sehingga membuahkan hasil,” katanya.
Projek tersebut berdasarkan kitar semula sisa industri seperti pakaian terpakai, fabrik, kulit, kayu, tayar dan besi.
“Ia bermula pada 2020. Kerana saya melihat banyak pembaziran, saya menyahut cabaran itu. Mereka sedang menjalankan kajian mengenai sisa dan keupayaannya.
“Saya mendapati jumlah sisa terbesar adalah fabrik dan kulit daripada kilang,” tambahnya.
El-Gul percaya bahawa mereka boleh memanfaatkan alam sekitar dengan mengambil sisa dan mengalihkannya dari tapak pelupusan.
“Matlamat utama projek itu adalah untuk membersihkan alam sekitar. Matlamat kedua adalah untuk menyediakan rezeki kepada wanita yang memerlukan.
“Sekali gus mengajar mereka kraf buatan tangan supaya mereka boleh memasuki pasaran,” tambahnya.-Agensi