Berita Utama

Ahli UMNO dijangka beri sokongan pada Annuar Musa dalam PAS

Tak mustahil ramai ikut jejak sertai PAS

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Zulkaedah 1444H, Ahad – Pengesahan penyertaan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dalam PAS dijangka mengukuhkan lagi kedudukan parti itu sekali gus menarik lebih ramai sokongan terutama daripada ahli UMNO sendiri.

Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh yakin pengalaman luas Annuar dalam arena politik bukan sahaja mampu memberi lonjakan baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti tetapi boleh mengubah imej parti itu sendiri.

“Pengumuman Annuar Musa menyertai PAS sangat dialu-alukan kerana beliau bukan sahaja tokoh politik yang disegani, malah turut memiliki pengalaman luas yang diyakini mampu mengukuhkan kedudukan PAS yang kini semakin diterima ramai.

“Ia juga memberikan imej baharu kepada PAS yang selama ini dianggap hak milik orang beragama atau ‘pak lebai’ sahaja.

“Namun kehadiran Annuar akan mengubah persepsi berkenaan dan tak mustahil kekuatan itu akan mengubah dan mencetuskan gelombang penyatuan ummah yang diasaskan Annuar sehingga boleh membawa kebangkitan ummah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sebagai ahli PAS yang diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

Takiyuddin memaklumkan, PAS bersedia meletakkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu sebagai calon dalam PRN nanti berikutan ketokohan Annuar yang disegani ramai.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, penghijrahan Annuar juga dijangka akan disokong lebih ramai ahli UMNO yang lain berikutan kecewa dengan janji-janji sebelum ini yang tidak akan bekerjasama dengan DAP.

“Namun sayang sekali janji itu tidak ditunai menyebabkan ahli-ahli UMNO kecewa dan tak mustahil akan mengikut jejak Annuar untuk bersama dengan PAS yang dilihat semakin relevan dan mampu membela nasib orang Melayu kini,” katanya.

Sirajuddin berkata,  bekas Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein sebelum ini pernah tular mengeluarkan kenyataan menyatakan seandainya UMNO tidak mampu membela nasib orang Melayu lagi, PAS adalah pilihan terbaik kepada orang Melayu.

“Kini semua yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu terbukti dan Annuar membuktikan keputusan yang dibuat tepat apabila beralih arah kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat sambutan,” katanya.

Malah, ia turut membuktikan beliau tokoh politik yang sejati apabila berani untuk berjuang demi mengangkat dan membela orang Melayu dengan perjuangan melalui PAS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button