Berita Utama

Ketua UMNO Tebrau persoal keperluan buat rayuan lepas digantung parti

Proses pemecatan, penggantungan pun tak ikut perlembagaan parti

BANGI, 22 Zulkaedah 1444H, Ahad – Bekas Ketua UMNO bahagian Tebrau, mempersoalkan kenapa ahli yang digantung atau dipecat parti perlu membuat rayuan sedangkan proses pemecatan dan penggantungan mereka tidak mengikut perlembagaan.

Datuk Maulizan Bujang berkata, penggantungan dirinya sendiri selama enam tahun mulai Januari lalu dilakukan tidak mengikut prosedur termasuk tidak dipanggil oleh lembaga disiplin parti untuk memberi penjelasan.

Malah, beliau mendakwa kebanyakan nama besar dalam parti yang digantung atau dipecat, hanya kerana satu isu iaitu tidak sehaluan dengan presiden.

“Saya sendiri tidak pernah mengkhianati atau sabotaj UMNO kerana aktif dalam parti ketika usia 17 tahun lagi tetapi bertungkus lumus memenangkan parti setiap pilhan raya kecil (PRK), pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN),” katanya.

Beliau yang juga bekas ADUN Tiram itu juga melahirkan rasa kecewa apabila gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh supaya DAP memohon maaf, turut ditolak oleh presiden.

Katanya, UMNO kini semakin lemah apabila orang Melayu mula berasa ia hilang identiti sebagai parti yang asas perjuangannya membela agama, bangsa dan negara.

“UMNO sekarang tidak lagi sama dengan UMNO dahulu, keramatnya makin pudar, amat menyedihkan,” katanya.

Tegas Maulizan, UMNO dan sebilangan besar orang Melayu sehingga kini masih tidak boleh menerima kehadiran DAP, antara lain kerana parti itu masih berjuang menuntut hak kesamarataan sehingga sekarang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button