PAS sedia pertimbang Annuar Musa jadi calon PRN
Yakin bekas SUA BN mampu beri gelombang kemenangan kepada PN

BANGI, 22 Zulkaedah 1444H, Ahad – PAS tiada masalah untuk mempertimbangkan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut boleh dipertimbangkan memandangkan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu tidak meletakkan syarat terhadap PAS.
“Itu sesuatu perkara yang boleh kita fikirkan. Kita tengoklah, kerana Annuar tidak beri apa-apa syarat.
“Dia (Annuar) masuk ke dalam PAS untuk berjuang bersama tanpa apa-apa syarat. Jadi soal pencalonan semua itu akan bincang dan sebagai ahli PAS, dia layak untuk dicalonkan serta diberi peranan,” katanya.
Terdahulu beliau hadir Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat, di Seremban, semalam.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau yakin Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) adalah seorang tokoh politik di Kelantan dan mampu memberi gelombang kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, Takiyuddin mengesahkan pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof telah menyertai parti itu.
Selain Eizlan terdapat beberapa lagi tokoh lain, namun nama mereka akan diumumkan pada waktu yang sesuai.
“Datuk Eizlan Yusof sah jadi ahli dan bersama dengan dia pun ramai lagi,” katanya.
Sehingga kini, PAS menerima antara 3,500 sehingga 4,000 orang keahlian baharu setiap bulan.
“Hari ini saja ada 3,000 lebih termasuk penyertaan kumpulan Tan Sri Annuar Musa sendiri dan difahamkan akan ada lagi secara berkumpulan termasuk di peringkat negeri-negeri,” katanya.