30,000 pelajar tak SPM? ‘Semak fakta dulu sebelum nak kenakan saya’
Radzi persoal sumber data, siapa tipu siapa?

BANGI, 25 Zulkaedah 1444H, Rabu – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kesal apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja mempolitikkan isu pendidikan dengan memburukkan kerajaan terdahulu.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, seramai 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Beliau memberitahu, perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang meminta laporan dan kajian teliti untuk dilakukan berkaitan perkara terbabit.
“Bagaimana ada Menteri Pendidikan ketika itu, dan tak boleh pantau anak-anak yang tak ambil peperiksaan.
“Hanya selepas Fadhlina jadi Menteri, perkara ini dibongkar. Ini adalah masalah tetapi dalam kempen, dia (Radzi) tak sebut perkara ini,”dakwa Anwar.
Kecewa dakwaan tersebut, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sepatutnya Anwar menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.
Beliau mempersoalkan kenyataan Anwar, walhal katanya, sedangkan Fadhlina mengesahkan hanya 14,858 pelajar yang tidak menduduki SPM.
“Kalau lihat pada kenyataan Fadhlina, 14,858 calon tidak menduduki SPM dan begitulah laporan media lain nyatakan.
“Jadi bila Perdana Menteri menyebut 30,000, daripada mana datang data ini? Siapa tipu siapa?
“Sama ada menteri pendidikan menipu Perdana Menteri atau Perdana Menteri bercakap sendiri tanpa merujuk fakta,” soal Radzi seperti dilapor media tempatan.
Radzi meminta Anwar merujuk tarikh peperiksaan SPM yang bermula 20 Februari hingga 15 Mac lalu,yang mana tempoh masa ini adalah selepas kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.
Malah secara sindiran beliau meminta supaya Ahli Parlimen Tambun itu menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Kalau ya pun dia nak kenakan saya, semaklah fakta dulu. Peperiksaan ini berlaku selepas waktu saya,” katanya.