Kerajaan perlu lindung nilai mata wang ringgit
Sampai bila Malaysia nak kekal sebagai negara pengguna?

BANGI, 25 Zulkaedah 1444H, Rabu – Kerajaan Madani tidak boleh memandang ringan isu penurunan nilai mata wang, meskipun ia dianggap kebiasaan yang juga dihadapi negara lain.
Walaupun masih normal dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu hadir dengan perancangan yang utuh untuk menyelesaikan isu ini.
Pemuda BERJASA, Isma Aiman berkata, kejatuhan nilai ringgit mungkin dilihat baik untuk Malaysia kerana negara-negara luar akan tertarik untuk membeli barangan eksport milik Malaysia.
Ini kerana, pendapatan negara banyak didasarkan atas perdagangan eksport memandangkan statusnya sebagai negara pengguna.
Namun, beliau mempersoalkan sampai bilakah negara ingin terus bergantung dengan produk negara luar dan hanya mengekalkan ‘darjat’ sebagai negara pengguna.
Beliau berkata, kebanyakan barangan eksport negara adalah bahan mentah yang masih belum diproses sepenuhnya, sekali gus menjadikan harga barang eksport tersebut menjadi murah.
“Kita perlu maklum barangan eksport yang didagangkan oleh negara kita tidak diproses kepada barang siap atau barang separuh siap. Ia hanya bahan mentah sahaja maka harganya agak murah. Jika ada pun, mungkin dalam kuantiti sedikit.
“Jadi penurunan nilai mata wang ringgit yang dikatakan dapat memberikan kebaikan kepada negara dalam pasaran eksport agak kurang tepat.
“Ini memandangkan negara kita merupakan negara pengeluar bahan mentah utama, permintaan masih ada walaupun nilai ringgit meningkat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor naik turun nilai Ringgit banyak dipengaruhi oleh Amerika Syarikat (AS) yang sengaja menaikkan kadar faedahnya bagi menurunkan nilai mata wang negara-negara lain.
Beliau mendakwa, tindakan ini dibuat bagi membolehkan AS dapat membeli bahan mentah daripada negara lain dengan harga yang murah memandangkan mereka merupakan negara industri yang terbesar di dunia.
“Kita setuju ia disebabkan oleh faktor luaran kesan tindakan daripada AS yang menaikkan kadar faedahnya.
“Namun kerajaan juga perlu proaktif dan agresif untuk melindungi nilai mata wang Ringgit daripada terus jatuh ke paras yang paling terendah. Bukannya hanya menerima kejatuhan itu dengan bersahaja”, kata beliau.
Setakat ini ringgit telah ditutup rendah berbanding dollar AS (USD) dengan nilai 1 USD bersamaan RM4.62.