Berita Utama

Ada pemimpin politik lindung aktiviti judi dalam talian

SPRM lakukan siasatan tetapi tiada maklumat yang kolaboratif: Saifuddin

KUALA LUMPUR, 26 Zulkaedah 1444H, Khamis – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan wujud pemimpin politik yang melindungi pengendali-pengendali platform perjudian dalam talian di Malaysia.

Beliau menyifatkan kewujudan ‘naungan politik’ tersebut menjadi halangan terbesar pihak kerajaan untuk membanteras jenayah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan sahaja Malaysia yang menghadapi masalah campur tangan ahli politik di dalam kegiatan perjudian dalam talian tetapi juga negara-negara lain dari benua Amerika dan Eropah.

“Ya memang wujud elemen naungan politik ke atas pengendali judi dalam talian dan saya sahkan.

“Dari situ wujudnya perlindungan dan pengaruh, menyebabkan berlakunya korupsi dan sogokan yang menyebabkan nipis tekad politik untuk mengadakan dan membaharui tekad memerangi kegiatan secara habis-habisan.

“Pusingannya pemain perjudian yang dinaungi ini membalas ‘political master’ ini, lalu ‘political master’ membalas dengan melindungi tindakan mereka… polis faham sungguh corak ini.

“Sebab itu, saya imbas Yang Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada sebut elemen ini, kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melakukan siasatan tetapi tiada maklumat yang kolaboratif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, seperti dilapor BH.

Saifuddin juga menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang mempersoalkan mengapa pihak polis begitu sukar mengekang aktiviti perjudian dalam talian dan bertanya jika wujudnya naungan politik yang terlibat di dalam jenayah tersebut.

Jelas beliau, polis begitu memahami ‘corak’ yang wujud itu dan ia memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Peringkat pasukan polis radar yang kita kesan, dengan semua data yang saya sebutkan tadi. Ya, ini memang memerlukan perhatian berat.

“Bahkan kita akan semak balik. Apakah wujud kelulusan-kelulusan baharu atau lesen-lesen baharu ataupun wujud atau tidak naungan-naungan ini yang membabitkan orang politik tertentu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button