DAP konsisten sentuh sensitiviti umat Islam, mana suara MP Melayu?
Seolah cuba normalisasi murtad, kini mahu kerajaan iktiraf pula perkahwinan antara orang Islam dan orang bukan Islam

BANGI, 26 Zulkaedah 1444H, Khamis – Pemuda BERJASA hairan sehingga kini tiada sebarang tekanan atau tindakan yang dikenakan ke atas Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, susulan kenyataan kontroversinya membabitkan isu murtad.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Beruas itu adalah menyentuh sensitiviti umat Islam, apatah lagi ia bukanlah kali pertama disuarakan pemimpin parti cauvinis berkenaan.
Beliau berkata, Koo Ham pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu sejak 2014 yang menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad.
Justeru, bagi Fahmi, kenyataan itu sudah menjadi satu kebiasaan untuk ahli politik DAP kerana parti itu sentiasa konsisten menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia itu adalah benar, namun perlu diteliti pada Fasa 4 bahawa ada sekatan yang dikhususkan untuk umat Islam.
“Penetapan ini tidak boleh dipertikai. Kenyataan beliau (Koo Ham) di Parlimen baru-baru ini, menanyakan soal perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara sudah pun dijawab oleh Menteri Agama namun sedarkah kita bahawa DAP amat konsisten untuk mempertikaikan agama Islam seperti isu murtad yang pernah dibangkitkan dahulu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkahwinan yang melibatkan antara orang Islam dan bukan Islam adalah tidak dibenarkan dan tidak diiktiraf di bawah undang-undang.
Subseksyen 3(3), Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) memperuntukkan bahawa akta itu tidak terpakai bagi seseorang Islam atau bagi mana-mana orang yang berkahwin di bawah undang-undang Islam dan tiada perkahwinan boleh diupacarakan atau didaftarkan di bawah akta berkenaan.
Atas sebab itu, Fahmi mempersoalkan kewajaran Koo Ham membangkitkan isu berkenaan di Parlimen sedangkan sudah jelas bahawa Malaysia meletakkan Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Beliau menyifatkan kenyataan itu seolah-olah ingin menormalisasikan murtad dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadikannya sebagai suatu tindakan yang diterima atas dasar kebebasan beragama.
“Beliau (Koo Ham) sama seperti ahli politik DAP lain yang hanya sekadar meminta maaf apabila menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Saya juga ingin mempersoalkan di manakah suara Ahli Parlimen Melayu yang lain? Saya khuatir jika tiada tekanan yang diberi maka fasal-fasal kecil di dalam Perlembagaan cuba dimansuhkan atau dinafikan oleh Ahli-ahli Parlimen yang berniat jahat,” katanya.