PM Palestin gesa EU henti kemasukan barangan Israel
Lithuania digesa iktiraf negara Palestin, terus perkasa hubungan dua hala

RAMALLAH, 26 Zulkaedah 1444H, Khamis – Perdana Menteri Palestin, Muhammad Shtayyeh, semalam menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk menghalang kemasukan barangan yang dibuat di penempatan haram Israel, lapor Anadolu Agency.
Keputusan ini dibuat semasa pertemuan yang diadakan dengan Perdana Menteri Lithuania, Ingrida Simonyte di Ramallah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Shtayyeh.
Semasa perbincangan berlangsung, Shtayyeh menekankan keperluan untuk berhenti daripada menyenaraikan barangan pendudukan agar tidak memasuki pasaran negara EU.
Pada November 2015, Suruhanjaya Eropah, cabang eksekutif EU, bersetuju untuk meletakkan label Israel pada produk dihasilkan negara pendudukan itu untuk membezakannya daripada produk buatan selain negara haram tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Palestin menyeru Lithuania untuk mengiktiraf Negara Palestin serta membincangkan perkembangan hubungan dua hala dengan Lithuania, terutamanya dari segi perdagangan, pertukaran akademik, kecerdasan buatan, teknologi maklumat dan komunikasi, pemerkasaan wanita, kitar semula sisa dan memerangi perubahan iklim.
Bagi pihaknya, Simonyte mengesahkan sokongan negaranya untuk penyelesaian dua negara dan proses damai, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa. – Agensi