Berita Utama

Dakwaan Anwar serius, Puad gesa SPRM siasat Tun M

PM buat pernyataan, Tun M desak 'bailout' syarikat perkapalan milik anaknya

BANGI, 27 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Desakan itu susulan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pernyataan pembelaan bahawa Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu Dr Mahathir, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.

Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr Mahathir, Anwar berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

Menurut Puad, pernyataan pembelaan oleh Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam amat serius.

“Syarikat Opcom yang dikaitkan dengan anak Tun Mahathir didakwa menerima kontrak gantian optik bernilai RM214.2 juta pada 2003. Tun Mahathir adalah Perdana Menteri ketika itu.

“PMX juga buat pernyataan, Tun Mahathir mendesak untuk ‘bailout’ syarikat perkapalan milik anaknya. Datuk Seri Najib Razak pernah mendedahkan kepincangan ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Puad mendakwa, rakyat sudah bosan dengan hipokrasi Dr Mahathir yang didakwa bersikap zalim terhadap orang lain serta merasakan dirinya kebal.

“Keberanian PMX boleh menamatkan ego bapa kroni negara,” dakwanya.

Sebelum ini, Tun Mahathir mengemukakan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.

Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button