Berita UtamaIstimewa

Kegilaan melampau! Ceroboh tanah 40 tahun, sekarang tuntut geran pula

Tanpa segan silu MP DAP kaitkan isu dengan pencabulan hak asasi manusia

BANGI, 27 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Tindakan Ahli Parlimen DAP, Chow Yu Hui yang tanpa segan silu mendesak peneroka haram durian Musang King di Raub diberi geran tanah dan kebenaran mengusahakan kawasan berkenaan sungguh memalukan.

Lebih tidak masuk akal, Ahli Parlimen Raub itu seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah apabila menyarankan supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meninjau isu itu dari sudut aspek hak asasi manusia demi memperjuangkan keadilan bagi pihak penceroboh.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan, saranan Chow bukan setakat tamak dan tidak tahu malu bahkan satu kegilaan yang melampau.

“Tanah yang diceroboh selama 40 tahun dan dikaut untung berganda-ganda tanpa membayar satu sen pun kepada kerajaan negeri selama ini. Kini, dituntut pula agar kerajaan beri geran sampai ke peringkat Parlimen.

“Boleh pula Chow kaitkan isu dengan pencabulan hak asasi manusia. Sejak bila pula hak menceroboh menjadi asasi bagi manusia? Memang keji sungguh dia punya tak malu menegakkan benang yang basah,” katanya dalam kenyataan.

Aminuddin berkata, sudah sedia maklum bahawa apa yang berlaku di Pahang adalah hasil dari kedayusan pemimpin Melayu, kelemahan struktur pentadbiran kerajaan dan penguatkuasaan sehingga ada pihak begitu berani meminta permintaan ‘luar tabiie’ sebegini.

“Persoalannya, apakah pemimpin Melayu ada daya untuk menahan arus desakan ini? Atau akhirnya akan akur dengan permintaan mereka?

“Lebih-lebih lagi politikus-politikus Melayu dalam kerajaan kini berada di hujung tanduk, dalam pelbagai aspek; kes mahkamah, sokongan kerusi kerajaan Persekutuan dan negeri, terhutang budi dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga cenderung mengatakan bahawa pemimpin Melayu akan bersedia memberikan geran itu kerana mereka pandai ‘berbelit’ untuk mensucikan sesuatu.

“DAP pun senang sahaja disucikan. Apalah sangat kalau nak sucikan penceroboh-penceroboh ini. Semuanya demi survival parti,” katanya.

Justeru, beliau menggesa agar rakyat Raub bangkit menentang desakan ini.

“Jika tidak, ahli Parlimen kalian ini akan terus dengan yakinnya memperjuangkan perkara yang salah bagi pihak anda,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button