Berita Utama

LHDN serbu rumah Hamzah Zainudin

Dokumen berkaitan akaun bank dan pemilikan aset dirampas

KUALA LUMPUR, 27 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) didakwa melakukan serbuan di kediaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung dakwaan cukai tidak dilaporkan.

Sumber berkata, serbuan itu dilakukan di rumahnya di kawasan Damansara pada pagi Selasa.

“Hamzah berada di rumah ketika serbuan. Fail dan dokumen berkaitan akaun bank dan pemilikan aset dirampas,” kata sumber itu semalam.

Sumber yang rapat dengan Hamzah mendakwa, serbuan itu adalah tindakan bermotif politik oleh pihak berkuasa, kerana Ahli Parlimen Larut itu sentiasa memfailkan cukainya.

“LDHN tidak menyatakan secara terperinci sebab serbuan itu, sama ada ia berkaitan cukai syarikat atau beberapa projek atau tidak.

“Hamzah masih menunggu dokumen daripada lembaga,” kata sumber itu.

Sementara itu, sumber LHDN ketika dihubungi berkata, pihaknya kini tidak boleh mendedahkan apa juga maklumat terhadap kes yang membabitkan cukai.

“Kami tidak boleh mendedahkan apa juga maklumat ketika ini,” katanya kepada BH.

Pada 12 Mei, satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Sulit Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli untuk menyiasat pihak yang didakwa mempengaruhi agensi kerajaan untuk mencemarkan nama baik Hamzah.

Hamzah juga menafikan beliau terlibat dalam kes rasuah, di mana seorang ahli perniagaan telah terlibat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button