Berita Utama

SPRM siasat pembabitan ahli politik dalam aktiviti judi ‘online’

Tak akan kompromi dengan perasuah, pihak salah guna kuasa

BANGI, 28 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berkaitan pendedahan aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan siasatan itu dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima, dan turut berkongsi perkara itu bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa hingga menyebabkan isu judi ini berlaku.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan dakwaan terdapat ‘naungan politik’ melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak boleh menamakan mana-mana parti politik yang ditaja oleh syarikat judi, berikutan siasatan masih dijalankan.

“Saya tidak boleh nak katakan pembabitan mana-mana parti dan menamakan mereka. Cuma kita mengesahkan menyiasat dan sedang menyiasat.

“Ia berikutan, kita menerima laporan berhubung ada parti politik yang dibiayai atau ditaja oleh pihak judi,” katanya.

Kelmarin, ketika menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.

Saifuddin menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan perjudian dalam talian daripada terus berleluasa.

Katanya, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button