Dunia

96 maut gelombang haba di India

Kebanyakan mangsa sekitar usia 60 tahun ke atas, berpenyakit

NEW DELHI, 30 Zulkaedah 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya 96 maut akibat gelombang haba yang melanda dua negeri paling ramai penduduk di India. 

Kematian berlaku di negeri utara Uttar Pradesh dan timur Bihar, di mana pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang berpenyakit supaya kekal berada di rumah pada waktu siang. 

Angka kematian di Uttar Pradesh kini meningkat kepada 54, berlaku di daerah Ballia kira-kira 300 kilometer ke tenggara Lucknow. 

Pihak berkuasa mendapati kebanyakan mangsa korban berusia lebih 60 tahun dan berpenyakit – yang mana didorong lagi dengan keadaan cuaca panas melampau.

Kebanyakan pesakit mengalami simptom demam tinggi, muntah, cirit-birit, kesukaran bernafas dan masalah berkaitan jantung.

Pegawai perubatan di Ballia, S.K Yadav berkata, dalam tempoh tiga hari lalu, kira-kira 300 pesakit dimasukkan ke hospital daerah kerana pelbagai penyakit akibat cuaca gelombang haba.

Berikutan keadaan yang semakin teruk, pihak berkuasa membatalkan permohonan cuti kakitangan perubatan di Ballia dan menyediakan katil tambahan di wad kecemasan bagi menampung kemasukan pesakit di hospital.

Ballia berdekatan Uttar Pradesh kini sedang bergelut dengan gelombang panas melampau sehingga suhu maksimum mencecah 43 darjah Celsius pada Ahad lalu.

Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran bahawa keadaan gelombang haba itu akan berlarutan sehingga 19 Jun.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button