Berita UtamaDunia

Taliban benar pakar Iran nilai kuantiti air empangan Kajaki

Iran dakwa Taliban langgar perjanjian, tak adil agih air

TEHRAN, 30 Zulkaedah 1444H, Isnin – Taliban bersetuju untuk pakar-pakar dari Iran menilai kuantiti di empangan Kajaki di wilayah Helmand Afghanistan selepas berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak berhubung agihan air dari Sungai Helmand.

Wakil khas Iran ke Afghanistan, Hassan Kazemi Qomi berkata, Iran kini sedang bekerja keras untuk mempertahankan haknya bagi mendapatkan bekalan air.

Beliau menyifatkan tindakan Afghanistan sebagai langkah yang positif, walaupun sebelum ini, Kabul mendakwa agihan air tidak dapat dilakukan dengan adil berikutan kekurangan bekalan air di sungai tersebut.

Iran dan Afghanistan berdepan pertikaian yang berlarutan berhubung air Sungai Helmand, yang berasal dari pergunungan Hindu Kush – berhampiran Kabul sebelum mengalir ke Lembah Hamoun di wilayah Sistan-Baluchestan, tenggara Iran.

Pada 1973, kedua-dua negara bersetuju berkongsi air di Sungai Helmand, dan Afghanistan komited menyalurkan air dengan purata 820 juta meter pada setiap tahun.

Bagaimanapun selepas beberapa tahun Iran mengkritik Afghanistan dan mendakwa negeri jiran itu melanggar perjanjian.

Mei lalu, Presiden Iran, Ebrahim Rais memberi amaran kepada pemimpin Taliban dan bersedia mengambil alih agihan air sekiranya mereka gagal menyalurkan bekalan air di wilayah Sistan-Baluchestan di tenggara Iran dengan adil.

Ebrahim menegaskan Afghanistan harus membenarkan pakar Iran memerhati keadaan sebagai tindak balas kepada khabar angin yang menyatakan empangan di selatan Afghanistan itu tidak menyimpan banyak air selain  mempunyai kotoran yang terkumpul. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button