Berita Utama

Tarikh daftar SPM calon persendirian dilanjut hingga 30 Jun ini

Permohonan calon lepasan SPM 2022 dikecuali fi bayaran lewat daftar

BANGI, 1 Zulhijjah 1444H, Selasa – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga jam 6 petang 30 Jun ini.

Lanjutan itu selaras dengan teras keempat Nadi Keunggulan KPM yang memberi perhatian terhadap isu keciciran pendidikan selain hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peluang kedua diberikan kepada hampir 30,000 calon SPM tahun lalu yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan ini.

KPM berkata, pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my.

“Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan pendaftaran peperiksaan calon lepasan SPM Tahun 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar, manakala pendaftaran peperiksaan bagi calon persendirian selain calon lepasan SPM Tahun 2022 masih tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPM berkata, maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.

“KPM sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak bakal peneraju negara dan berharap agar calon-calon lepasan peperiksaan SPM Tahun 2022 menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menduduki dan memperbaiki keputusan peperiksaan SPM masing-masing.

“KPM sentiasa berusaha memastikan anak-anak mendapat peluang pendidikan yang berkualiti demi membangunkan Malaysia Madani,” katanya.

Sebelum ini, tarikh pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 bagi calon persendirian telah tamat pada 16 Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button