MCA tuntut paling kurang 1 kerusi tanding PRN
Minta tak dipinggirkan meski gagal pada PRU dahulu

ALOR SETAR, 2 Zulhijjah 1444H, Rabu – Parti perkauman, MCA menggesa supaya wakil daripada partinya dibenarkan bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pemuda MCA Sungai Petani, Choo Tai Jie turut menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan partinya.
“Atas semangat kerajaan perpaduan, MCA dan MIC harus diberi peluang meletakkan calon walaupun gagal memenangi mana-mana kerusi di Kedah pada pilihan raya umum sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, MCA meletakkan calon di Kota Darul Aman, Gurun, Kulim dan Bakar Arang, dan kesemua mereka tewas kepada PH.
Pada PRU15 pada November, MCA tewas di kerusi Parlimen Alor Star.
Manakala calon MIC Padang Serai, Datuk C. Sivaraj terpaksa menarik diri, bagi memberi laluan kepada calon PH, Dr Sofee Razak, susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
“Kita sedar BN-PH berdepan cabaran sukar pada pilihan raya negeri akan datang, justeru semangat perkongsian harus dipupuk dalam kalangan parti.
“Rundingan pembahagian kerusi sepatutnya diselesaikan lebih awal, bagi membolehkan parti menumpukan perhatian kepada isu rakyat dan ekonomi negara. MCA sudah bersedia untuk menghadapi PRN.
“Sekiranya MCA diamanahkan untuk bertanding PRN, saya yakin MCA akan memberikan yang terbaik bagi mempertahankan kerusi itu,” kata Choo.
Pada Jumaat, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PH-BN telah mencapai persetujuan mengenai pembahagian 34 kerusi DUN di Kedah.
Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai baki dua kerusi akan diserahkan kepada kepimpinan pusat parti.