Berita Utama

472 Ahli Majlis dilantik terajui 25 PBT di Sabah

Bantu buat dasar, merancang, mengawasi pelaksanaan program

KOTA KINABALU, 3 Zulhijjah 1444H, Khamis – Seramai 472 Ahli Majlis telah dilantik untuk menerajui 25 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah bagi sesi 2023 hingga 2025, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, separuh daripada mereka merupakan lantikan baharu, manakala selebihnya lantikan semula bagi meningkatkan kecekapan, kualiti dan ketelusan sistem penyampaian perkhidmatan di PBT masing-masing.

“Ahli Majlis yang dilantik memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat melalui bentuk kerajaan ketiga iaitu Kerajaan Tempatan. Mereka mempunyai kedudukan untuk membantu PBT.

“Ia dapat membantu dalam membuat dasar, merancang, mengawasi pelaksanaan program yang dilaksanakan serta menyampaikan pandangan dan nasihat dalam beberapa jawatankuasa di peringkat PBT sekali gus menjadi rujukan dan penyebar kepada dasar serta matlamat kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Mengenai Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis PBT di sini hari ini. 

Dr Joachim berkata, Ahli Majlis antara lain menjadi rujukan dan penyebar dasar kerajaan, justeru mereka perlu mengetahui dasar kerajaan supaya tidak berlaku percanggahan dasar PBT dan kerajaan.

“Ahli Majlis juga membantu dalam membentuk dasar dan hala tuju PBT. Pada kebiasaan dasar yang dibuat PBT mestilah dikaitkan dengan kehendak dan matlamat dasar negara. Dasar yang diperkenalkan perlu mengambil kira pandangan rakyat agar tidak menimbulkan rungutan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata Ahli Majlis juga berperanan dan bertanggungjawab untuk menyemak kemajuan pengurusan pentadbiran PBT agar berjalan mengikut prinsip dan peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan kerajaan demi kelancaran pengurusan pentadbiran PBT.

“Peranan dan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap Ahli Majlis di daerah masing-masing adalah tertakluk kepada beberapa perkara iaitu sebagai penyampai dan jurucakap iaitu penglibatan mereka adalah untuk mewakili kepentingan orang ramai dan masyarakat setempat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button