Gugurkan Zahid beri persepsi baik pada pelabur
Lantik Menteri Kewangan yang boleh fokus kepada tugas

BANGI, 3 Zulhijjah 1444H, Khamis – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Kerajaan Madani mahu memberi persepsi baik kepada pelabur luar.
Tindakan itu sekali gus menunjukkan kerajaan serius untuk menolak perbuatan rasuah dan pecah amanah, tegas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, Menteri Ekonomi sebelum ini meminta pembangkang memberikan cadangan untuk penambahbaikan kepada kerajaan, bukan hanya membuat konvoi motosikal.
“Jawapan saya, konvoi motosikal itu ialah manifestasi kebangkitan orang muda yang meluat dengan kerajaan yang ada. Jika mahukan cadangan, saya berikan dua cadangan terlebih dahulu.
“Berikan persepsi yang baik kepada pelabur luar bahawa kerajaan serius untuk tidak bertolak ansur dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.
“Langkah paling penting ialah, gugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada seorang individu yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja berdepan satu pertuduhan sebaliknya sebanyak 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Justeru, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS mengesyorkan kerajaan melantik mana-mana Ahli Parlimen yang bersih daripada sebarang tuduhan memegang jawatan berkenaan.
“Pilih mana-mana ahli Parlimen yang bersih dan jika perlu daripada UMNO dan BN, masih ramai lagi yang tidak hadapi pertuduhan di mahkamah.
“Lantik Menteri Kewangan yang boleh fokus kepada tugasannya. Inilah yang diperjuangkan sendiri oleh Pakatan Harapan sebelum ini bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mestilah orang yang berasingan ke arah mewujudkan ‘good governance’ yang berkesan.
“Tapi saya yakin, kedua-dua cadangan di atas tidak akan diterima. Jadi kepada rakyat, tolak sahaja kerajaan ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang,” katanya.