Berita Utama

Isu kewarganegaraan: Cadangan pindaan Perlembagaan akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja

Penting untuk tangani pertambahan penduduk yang terlalu ramai

BANGI, 3 Zulhijjah 1444H, Khamis – Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan akan dilakukan secara komprehensif bagi menghentikan amalan memberi status kerakyatan secara automatik kepada warga asing yang bermastautin di negara ini melebihi tempoh tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu penting untuk menangani jumlah pertambahan penduduk yang terlalu ramai akibat amalan terbabit selain membabitkan isu berkaitan anak kepada ibu warga Malaysia yang lahir di luar negara.

“Kalau dulu, pernah ada di Sabah melalui keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) satu ketika dulu, seseorang yang bermastautin di Sabah lebih 30 tahun, dia terus mendapat warganegara.

“Kemudian kalau dia bermastautin antara 15 hingga 30 tahun, dia boleh mendapat status pemastautin tetap dan anak yang lahir daripada ibu bapa pemastautin tetap, boleh mendapat kewarganegaraan.

“Itu menyumbang kepada pertambahan penduduk di Sabah, sampai sekarang kita hadapi masalah, ia terlalu ramai. Jadi kita cadang amalan seperti itu dihentikan,” katanya.

Saifuddin menegaskan, beliau telah membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan membabitkan isu kewarganegaraan itu kepada Jemaah Menteri, semalam.

Bagaimanapun, cadangan pindaan itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR) pada 12 Julai ini dan jika mendapat perkenan, akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button