Berita Utama

Khaled Nordin kata kemasukan pelarian Rohingya ke IPT dibuat berdasarkan kelayakan

'Tiada apa yang hendak ditakutkan, bukan semua boleh masuk universiti’

BANGI, 3 Zulhijjah 1444H, Khamis – Pengambilan pelarian Rohingya untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak dibuat sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan kelayakan dengan tempat yang terhad, demikian kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, sekiranya etnik ini berkelayakan dan mampu membayar maka mereka boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad.

“Tidak semua etnik Rohingya seperti yang kita lihat di luar, ada di antara mereka yang berkelayakan. Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya.

“Sekiranya dia (Rohingya) berkelayakan, boleh bayar, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad. IPTS memang terbuka.

“IPT ini bukan ambil semua (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Situasi ini bukan berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Sebelum ini, kenyataan Mohamed Khaled Nordin yang tidak menghalang pelarian Rohingya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan memberi pelbagai persepsi masyarakat yang bimbang bakal mengancam kedaulatan negara.

Terdahulu, dilaporkan bahawa peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).

Mengulas lanjut, Mohammed Khaled berkata, persepsi masyarakat perlu diperbetulkan terhadap isu peluang pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT.

“Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita ini menjadikan etnik Rohingya manusia.

“Takkan kita tiada sifat insani, kita ini hendak jadikan dia berjaya. Dia Islam, dia kalau balik negara dia akan dibunuh, jadi kalau kita dapat lahirkan dia etnik berjaya, dia boleh betulkan masyarakat dia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button