Berita UtamaDunia

3 maut serangan baharu Russia ke Ukraine

Peluru berpandu dilancar Moscow serang lima wilayah

KYIV, 6 Zulhijjah 1444H, Ahad – Sekurang-kurangnya tiga maut di Kyiv selepas Russia melancarkan serangan terbarunya ke atas Ukraine, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Ihor Klymenko berkata, peluru berpandu yang dilancarkan Moscow menyerang lima wilayah di seluruh negara.

“Tiga orang terbunuh dan lapan cedera selepas sebuah bangunan tinggi di ibu negara dibedil.

“Ini adalah gaya pengganas. Gaya Russia,” katanya menerusi aplikasi pemesejan Telegram.

Memetik Reuters, tentera Ukraine berkata, pertahanan udara memusnahkan 41 daripada 51 peluru berpandu jelajah, serta dua dron, yang dilancarkan oleh Russia dalam serangan itu.

Dalam hantaran berasingan, Ketua Pentadbiran Tentera Kyiv, Serhiy Popko berkata, kerosakan pada bangunan tinggi itu berpunca daripada serpihan peluru berpandu yang dijatuhkan.

Katanya, lebih daripada 20 peluru berpandu telah ditembak jatuh di sekitar bandar itu.

Pegawai di wilayah tenggara Dnipropetrovsk berkata, lapan orang cedera – dua daripadanya kanak-kanak – dan beberapa bangunan musnah dalam serangan di sana.

Sementara itu, Gabenor Kharkiv, Oleh Synehubov memaklumkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu Russia turut membedil Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, dengan satu mengenai zon perindustrian dan satu lagi merosakkan saluran gas.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdapat laporan mengenai letupan di bandar-bandar lain namun tiada berita segera mengenai kematian mahupun kerosakan.

Moscow mula meningkatkan serangan udara tetap ke atas Ukraine pada Mei ketika tentera Kyiv merancang serangan balas, yang kini berterusan, untuk merebut semula wilayah yang diduduki Russia di timur dan selatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button