Berita Utama

Kaji semula sistem pembelajaran Tingkatan Enam: iGuru

Penubuhan kolej boleh tarik minat pelajar lepasan SPM sambung Tingkatan Enam

BANGI, 6 Zulhijjah 1444H, Ahad – Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan mencadangkan sistem pembelajaran Tingkatan Enam dikaji semula agar bersesuaian dengan statusnya sebagai pascasekolah.

Perkara ini termasuk peraturan yang dikenakan kepada pelajar, silibus dan sistem pembelajaran, serta menyediakan kolej khas untuk mereka.

Beliau berkata, pelajar Tingkatan Enam wajar diasingkan dengan sistem pendidikan aliran perdana melalui penubuhan kolej-kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

Tambah beliau, sistem pembelajaran Tingkatan Enam juga boleh dilaksanakan selari dengan universiti seperti sistem semester, kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia berkata, suasana Tingkatan Enam perlu diubah kerana statusnya sebagai pascasekolah seperti Matrikulasi berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berpendapat kolej khas seperti Tingkatan Enam dapat memusatkan semua pelajar di satu tempat sekali gus memudahkan aspek pengurusan, pembelajaran dan penempatan guru.

Beliau juga menambah, penubuhan kolej seperti ini dapat menarik minat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran mereka di Tingkatan Enam kerana tidak dikaitkan dengan suasana dan peraturan sekolah.

“Mengambil Kolej Matrikulasi sebagai contoh, ramai pelajar berebut untuk masuk ke kolej itu kerana adanya kolej dan jenama. Jadi kalau Tingkatan Enam ada kolej sendiri ia dapat menarik minat dan juga jenama kepada pelajar lepasan SPM,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban, Muhammad Hakim Mohd Syafawi berkata, pelajar Tingkatan Enam tidak perlu lagi dilayan dan diasuh seperti pelajar aliran perdana.

“Ada dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam perlu mengikuti peraturan sekolah seperti mengehadkan penggunaan gajet dan peranti komunikasi dan ada yang tidak dibenarkan membawa telefon pintar ke kelas sama seperti pelajar menengah lain.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana Tingkatan Enam itu sendiri sudah bebas daripada peraturan sekolah dan pembelajarannya lebih ke arah futuristik, jadi penggunaan teknologi dalam pembelajaran sangat diperlukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button