Berita Utama

PRN: PN yakin menang lima negeri

‘Perang’ habis-habisan sasar ambil alih Selangor, Negeri Sembilan

BANGI, 6 Zulhijjah 1444H, Ahad – Perikatan Nasional (PN) yakin akan dapat mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain menawan Selangor serta Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyuarakan keyakinan itu berlandaskan analisis yang diterimanya menunjukkan bahawa gabungan itu boleh menguasai sehingga lima negeri.

“Sebagai Setiausaha Agung, kita buat analisa boleh dikatakan tiap-tiap hari menerusi pegawai yang saya hantar (ke lapangan) dan Insya-Allah Kelantan, Terengganu dan Kedah kita dapat pertahankan.

“Selangor dan Negeri Sembilan insya-Allah dengan retak yang berlaku pada mereka hari ini, kita akan dapat ambil alih, manakala Pulau Pinang tidak lama lagi dah.

“Justeru, mari kita pakat pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala Selangor dan Negeri Sembilan kita akan ambil alih pada PRN ini. Pulau Pinang pula, kita pakat tumbangkan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kelantan yang dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berharap PN akan memperoleh kemenangan besar-besaran.

Atas dasar itu, beliau mahu jentera pilihan raya di semua peringkat membantu dan bersiap sedia.

“Kita akan ‘perang’ habis-habisan, biar lawan gerun dengan jentera kita. Kita pastikan lawan kita dapat kosong (di Kelantan),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button