Kecelaruan pemimpin UMNO sukar tawan hati pengundi Terengganu
Beza pemerintahan zaman UMNO dengan PAS, MB sekarang berintegriti tinggi

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 7 Zulhijjah 1444H, Isnin – PAS diyakini akan terus mentadbir Terengganu dan mendapat tempat di hati rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain yakin berdasarkan pentabiran PAS dalam tempoh lima tahun ini, parti itu berjaya mengekalkan integriti yang tinggi terutama dalam menjaga kebajikan dan keselesaan rakyat.
Katanya, rakyat lebih selesa di bawah pemerintahan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang kekal bersih tanpa sebarang kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Bahkan, tiada juga kes salah laku babitkan pegawai kerajaan atau aktiviti yang tidak bermanfaat.
“Ini kerana Ahmad Samsuri memiliki integiriti tinggi, beliau mengamalkan konsep adil melibatkan pemberian subsidi kepada mereka yang layak tidak kira daripada parti apa.
“Ini berbeza di zaman pemerintahan UMNO, tiada integriti selain mengutamakan puak mereka sendiri walaupun terdapat peruntukan daripada Pusat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Terdahulu, timbul isu kononnya Terengganu bakal mengikut jejak langkah negeri jirannya, Kelantan yang mundur dalam pelbagai aspek pembangunan jika PAS terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada PRN akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perkara itu tidak mustahil apabila mengambil kira ketiadaan sebarang pembaharuan atau kemajuan ketara dibawa ke Terengganu sejak PAS merampas negeri itu daripada BN pada PRU14.
Dr Ahmad Atory mengakui pelik dengan kenyataan Ahmad apabila terlalu yakin untuk UMNO merampas semula Terengganu, walhal rakyat di kawasannya sendiri pun menolak dirinya.
Hal ini terbukti apabila Ahmad tewas di kawasan sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Keadaan itu jelas menunjukkan penyokong kuatnya menolak dan tidak mustahil penyokong UMNO lain juga tidak senang dengan keperibadian bekas Menteri Besar itu sendiri.
“Sebenarnya, kebobrokan dan kecelaruan pemimpin tertinggi UMNO turut mempengaruhi undi rakyat.
“…sama ada mereka kembali kepada UMNO atau terus kekal dengan PAS,” katanya.