Kuasa, keistimewaan Inspektor Sheila digantung
Didakwa tiga pertuduhan jenayah, mengaku tidak bersalah

BANGI, 7 Zulhijjah 1444H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenakan perintah tahan kerja terhadap pegawai polis wanita Inspektor Percubaan Sheila Sharon Steven Kumar.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, perintah tahan kerja mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967 telahpun disempurnakan terhadap pegawai berkenaan.
“Sehubungan itu segala kuasa-kuasa, hak dan keistimewaan subjek (Sheila) sebagai seorang pegawai polis adalah tergantung sehingga diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Sheila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dengan tiga pertuduhan jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dia mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan sejurus kertas pertuduhan dikemukakan.
Sheila didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.