
BANGI, 7 Zulhijjah 1444H, Isnin – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memutuskan bergerak secara sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak.
“Selepas berbincang berbahas, berdiskusi, dapat pandangan masyarakat, penyokong, ahli, dan badan bukan kerajaan (NGO), MUDA telah membuat ketetapan yang jelas.
“Ini berdasarkan konsensus parti iaitu pada enam PRN yang bakal diadakan nanti, MUDA akan menyertai dan bertanding di atas kekuatan parti kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook parti itu, hari ini.
Susulan itu, Ahli Parlimen Muar itu berkata, MUDA dengan rasa rendah diri ingin memohon sokongan daripada rakyat.
“Mungkin ada yang berkata adakah MUDA akan pecah undi? Adakah tidak cukup ada dua blok politik yang sedia ada?
“Bagi soal pecah undi saya katakan ini, cukup-cukuplah dengan politik untuk menakut-nakutkan rakyat.
“…kerana realitinya jikalau janji ditunaikan, reformasi dilaksanakan, kuasa dikembalikan kepada rakyat dan tidak mengambil mudah undi rakyat, tidak ada keperluan untuk MUDA bertanding,” katanya.