Zahid seolah ‘menikus’ bila UMNO dihina
'Dia sekadar suruh UMNO jangan layan, cikgu dah 'call' la tu'

BANGI, 7 Zulhijjah 1444H, Isnin – Datuk Seri Hamzah Zainudin menyindir Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan reaksi Presiden UMNO itu terhadap tuduhan dilemparkan Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau menjangkakan Ahmad Zahid akan mengeluarkan kenyataan tegas kerana tuduhan itu dilihat penghinaan kepada UMNO.
“Bila Tony Pua label UMNO dan BN pakatan korup, saya ingatkan Presiden UMNO akan mengaum kerana label itu satu penghinaan.
“Rupa-rupanya Presiden UMNO menikus. Dia sekadar suruh UMNO jangan layan. Cikgu dah ‘call’ la tu,” sindirnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid meminta semua pemimpin UMNO supaya tidak melayan sebarang kenyataan mana-mana individu yang bertentangan dengan pendirian komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, sekiranya pemimpin UMNO mudah memberikan reaksi balas terhadap sebarang kenyataan negatif berkenaan ia menggambarkan seolah-olah perkara itu sebagai masalah besar meskipun sebenarnya ia bukan pendirian parti.
Jumaat lalu, Tony Pua ‘tiba-tiba’ menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau ‘pakatan korup’.
Bekas Setiausaha Publisiti DAP itu dilaporkan mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari jalan untuk menubuhkan kerajaan PH sahaja tanpa kerjasama dengan BN khususnya.
Pua juga menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.