Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Denggi: Kes meningkat 7.7 peratus, dua kematian dilaporkan

2,808 kes pada ME24 berbanding 2,608 dilaporkan minggu sebelumnya

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1444H, Selasa – Jumlah kes demam denggi meningkat 7.7 peratus kepada 2,808 kes pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24) iaitu bagi tempoh 11 hingga 17 Jun berbanding 2,608 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME24.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME24 meningkat 149.6 peratus kepada 54,139 kes berbanding 21,688 kes kes bagi tempoh sama pada 2022. 

“Sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya. 

Dr Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti hotspot kes demam denggi pada ME24 meningkat kepada 110 lokaliti berbanding 95 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Lokaliti hotspot tersebut adalah 84 lokaliti di Selangor, 14 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat di Kedah dan Pulau Pinang, tiga di Sabah serta satu di Perlis.

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata, dua kes chikungunya direkodkan pada ME24 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 137 kes.

Beliau berkata, bagi survelan zika pula, sebanyak 1,381 sampel darah dan 69 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Pemantauan di Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan mendapati jumlah kes demam denggi adalah tinggi dan berpotensi untuk terus meningkat jika tiada tindakan pencegahan dilakukan oleh semua pihak termasuk masyarakat.

“Sebagai langkah proaktif, periksa setiap bekas di dalam dan luar rumah serta pastikan tiada takungan air untuk nyamuk Aedes membiak,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button