Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Jualan Rahmah bantu golongan B40 beli keperluan Aidiladha

Sambutan penduduk amat baik kerana subsidi kerajaan dapat dinikmati oleh semua rakyat

GUA MUSANG, 8 Zulhijjah 1444H, Selasa – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjadikan Program Jualan Rahmah sebagai inisiatif membantu rakyat golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persiapan Aidiladha.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, penduduk mengambil peluang mendapatkan bekalan berupa keperluan asas dan barangan dapur menerusi jualan itu.

“Setakat ini sudah laksanakan program ini di 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari ini adalah hari terakhir untuk kita laksanakan, selain Paloh terdapat dua lagi DUN yang masih menjalankan program. 

“Sambutan penduduk amat baik kerana subsidi daripada kerajaan dapat dinikmati oleh semua rakyat,” katanya kepada pemberita di Dataran Paloh 2, Gua Musang, hari ini. 

Azman berkata pihaknya turun padang membuat pemantauan ke atas program itu dan bergerak di setiap daerah bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil dapat menikmati jualan yang sama seperti di bandar. 

Katanya jualan tersebut bermula 16 Jun lepas bagi Kelantan dan berakhir hari ini, namun akan diadakan semula selepas raya hinggalah Disember 2023 dengan sedikit perubahan konsep. 

“Ini adalah sedikit sumbangan sekurang-kurangnya kita dapat membantu sedikit untuk persediaan hari raya walaupun dengan hanya pengurangan RM1 ke RM2 ia tetap memberi impak kepada penduduk,” katanya. – Bernama

 

 

Kesemua mereka telah menjalani satu pertiga daripada tempoh hukuman

 

LABUAN, 8 Zulhijjah 1444H, Selasa – Sembilan banduan Muslim dibebaskan daripada Penjara Labuan di bawah program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, hari ini, sempena perayaan Aidiladha. 

 

Pengarah Pusat Koreksional Labuan Pembantu Pesuruhjaya Kalbin Mohd Said berkata kesemua mereka berasal dari Labuan iaitu enam orang dijemput anggota keluarga dan saudara di luar premis penjara, manakala tiga lagi pulang kepada majikan masing-masing.

Kalbin berkata setakat ini, seramai 21 banduan telah dibebaskan di bawah PBSL melibatkan enam orang dalam kumpulan pertama yang dibebaskan sempena Hari Raya Aidilfitri (19 April); enam orang pada Festival Kaamatan (hujung Mei) dan kumpulan ketiga hari ini.

“Kesemua mereka telah menjalani satu pertiga daripada tempoh hukuman dan dijadual untuk dilepaskan dalam satu atau dua bulan.

“Mereka telah menunjukkan tingkah laku yang baik dan patuh mengikuti program rehabilitasi sepanjang penahanan mereka,” katanya kepada Bernama selepas pembebasan banduan itu di Pusat Koreksional Labuan di Jalan Bukit Timbalai.

Kalbin berkata inisiatif PBSL turut menyasarkan untuk mengurangkan bilangan pesalah berulang dan kesesakan di penjara.

“Kami harap ahli keluarga menerima kepulangan banduan ini dengan hati terbuka, supaya mereka boleh menebus diri dan kembali kepada kehidupan biasa,” katanya dan menambah inisiatif PBSL dilaksanakan secara serentak di seluruh negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button