Pemandu maut treler terjunam ke gaung
Mangsa parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian

BANGI, 8 Zulhijjah 1444H, Selasa – Seorang pemandu treler maut manakala isteri dan anaknya cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 3.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, Bentong, pagi tadi.
Mangsa, Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas tersepit di bahagian hadapan treler, manakala isterinya yang berusia 41 tahun dan anak lelaki berusia lima tahun dirawat di Hospital Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati treler muatan pasir itu dipandu Mohamad Hasrul bersama isteri dan anak lelaki mereka dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Terengganu.
“Treler itu dikatakan hilang kawalan apabila sampai di kawasan selekoh dan melanggar penghadang jalan lalu terbabas serta terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiham berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Pihak polis juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui Kilometer 40 hingga Kilometer 45 lebuhraya itu serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat,” katanya.