Perjanjian Bijirin Laut Hitam tak disambung beri kesan pada Afrika: PBB
Harga bekalan makanan akan melambung tinggi

GENEVA, 8 Zulhijjah 1444H, Selasa – Perjanjian eksport bijirin Ukraine yang bakal berakhir beberapa minggu lagi akan memberi kesan kepada jutaan penduduk di Afrika, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Inisiatif Bijirin Laut Hitam yang disasarkan menangani krisis makanan dunia dijangka berakhir 17 Julai depan, kecuali jika Russia bersetuju untuk memperbaharui perjanjian berkenaan.
Bagaimanapun, buat masa ini Moscow tidak berpuas hati dengan operasi perjanjian berkenaan.
Pegawai Kanan Program Makanan Dunia PBB, Dominique Feetti berkata, sekiranya perjanjian itu tidak disambung ia akan memberi kesan besar kepada penduduk Afrika.
“Buat masa ini beberapa negara bergantung sepenuhnya kepada gandum Ukraine dan situasi berkenaan memberi signifikan termasuk harga bekalan makanan akan melambung tinggi.
Pencerobohan Russia- Ukraine pada Februari 2022 menyaksikan sebahagian Laut Hitam Ukraine disekat sehingga perjanjian dicapai pada Julai tahun lalu bagi membolehkan eksport bijirin yang kritikal sahaja.
Ukraine adalah salah satu negara pengeluar gandum utama dunia dan perjanjian bijirin telah membantu menangani krisis makanan global yang dicetuskan oleh konflik berkenaan.
Setakat ini, kira-kira 32.4 juta tan bijirin telah dieksport melalui perjanjian, lebih separuh adalah jagung, manakala lebih satu perempat lagi gandum, menurut PBB.
Perjanjian awal selama 120 hari yang dicapai hasil campur tangan PBB dan Turkiye itu berakhir Julai lalu, namun berjaya disambung lagi pada November, Mac dan Mei lalu. – Agensi