NATO digesa tingkat keselamatan sempadan di timur Latvia, Lithuania
Tentera upahan Russia berhasrat bina pangkalan baharu di Belarus

PARIS, 9 Zulhijjah 1444H, Rabu – Negara Kesatuan Eropah (EU), Latvia dan Lithuania menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengukuhkan sempadan di timur negara itu sebagai respon selepas tentera upahan Russia, Wagner berhasrat membina pangkalan baharu di Belarus.
Menteri Luar Latvia, Edgars Rinkevies berkata, langkah itu perlu dinilai semula dari sudut keselamatan yang berbeza.
“Sempadan negara hanya terletak beberapa ratus kilometer daripada aktiviti tersebut dan hanya mengambil masa antara 8 hingga 10 jam dengan Lithuania.
“Keadaan boleh memberi kesan kepada negara-negara Baltik,”katanya.
Malah, Menteri Luar Lithuania, Gabrielius Landsbergis menjangkakan situasi tersebut akan mewujudkan persekitaran yang tidak sihat di negaranya.
“Kita perlu tegas dalam menjaga keselamatan dan pertahanan di negara-negara Baltik,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian selepas lawatan wakil negara-negara Baltik itu ke Perancis ketika kuasa Barat membuat persiapan sempena Sidang Kemuncak NATO, yang akan berlangsung di Vilnius, Lithuania, bulan depan.
Belarus terletak bersempadan dengan anggota NATO, Latvia, Lithuania dan Poland.
Terdahulu, Ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin tiba di Belarus bagi menyelesaikan rundingan dengan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko
Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, kumpulan Wagner akan ditawarkan pilihan untuk berpindah di Belarus. – Agensi