Berita Utama

Pemuda PAS harap 30 peratus golongan muda diberi peluang jadi calon PRN

Letak calon anak tempatan boleh bawa kemenangan

BANGI, 9 Zulhijjah 1444H, Rabu – Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mahu golongan muda diketengahkan untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, penyertaan golongan muda penting dan diyakini mampu menarik pengundi seusia mereka yang lain bagi memberi sokongan.

“Pemuda PAS berharap sekurang-kurangnya 30 peratus calon muda diketengahkan bertanding pada PRN di enam negeri tidak lama lagi, sekali gus dapat menarik sokongan pengundi muda terhadap PAS dan PN.

“Bagaimanapun dalam situasi sekarang, saya tidak fikir boleh tercapai 30 peratus calon muda, kalau kita dapat 10 peratus pun sudah mencukupi,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, calon muda yang bakal diketengahkan itu mestilah terdiri daripada anak tempatan dan mampu memberi kemenangan kepada parti.

Namun, pihaknya terbuka dengan keputusan akhir berhubung perkara itu kerana ia bergantung kepada penentuan yang ditetapkan pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS akan memberi perhatian terhadap pengundi muda dalam kempen PRN ini.

“Kita melihat momentum sokongan pengundi muda kepada PN dalam pilihan raya yang lepas masih lagi berkekalan.

“Golongan muda juga kecewa terhadap prestasi ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan ini dan dia akan ditunjukkan di dalam kotak undi PRN nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button