Berita Utama

Tanding solo, MUDA bakal hilang deposit seperti Pejuang

Tak mampu beri saingan, patut cari kerjasama politik lebih relevan: Penganalisis

BANGI, 9 Zulhijjah 1444H, Rabu – Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini hanya merisikokan parti itu sendiri selain dijangka bakal mengikut jejak parti Pejuang dan parti-parti kecil sebelum ini yang kehilangan wang deposit.

Hal demikian kerana parti yang ditadbir bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu masih terlalu baru bahkan sokongan yang diterima juga belum memberangsangkan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keputusan bergerak solo itu menyebabkan MUDA hanya mengulangi nasib parti-parti serpihan lain yang akan tenggelam dalam perkembangan politik negara selepas ini.

“Kalau bergerak solo MUDA akan tenggelam menjadi seperti parti-parti politik lain misalnya kita lihat sebelum ini ada parti Pejuang, Berjasa dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) akhirnya ke mana parti-parti politik ini pergi? Tenggelam dalam perkembangan politik negara.

“Bagi saya yang penting bagaimana MUDA perlu mencari pengalaman, perlu menilai untuk mencari rakan kongsi ataupun kerjasama politik yang lebih relevan berbanding hanya bergerak solo.” katanya seperti dipetik portal tempatan.

Mengulas lanjut, Dr Tawfik yang juga Pensyarah Kanan, jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam,dan Pengajian Pembangunan di UM berkata, MUDA juga masih terlalu baharu dalam dunia politik selain tidak mampu memberi saingan kepada parti-parti lain.

Selain itu, MUDA terpaksa berdepan persaingan yang mencabar terutama parti-parti kukuh dengan melebihi tiga penjuru.

Atas dasar itu, katanya, MUDA perlu lebih mengenali kekuatan parti sendiri sebelum membuat keputusan untuk bertanding secara solo.

Beliau juga berpandangan, MUDA seolah-olah melukut di tepi gantang apabila sekian lama berusaha menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan namun masih tidak mendapat kerjasama rasmi.

Kelmarin, MUDA mengumumkan akan bertanding PRN di enam negeri atas kekuatan parti mereka sendiri tanpa bergabung dengan parti-parti politik yang besar.

Keputusan itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh PAS, Bersatu dan Gerakan.

Presidennya, Syed Saddiq Syed berkata, keputusan untuk bertanding secara bersendirian itu dibuat selepas mendapat sokongan daripada ahlinya sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button