
BANGI, 9 Zulhijjah 1444H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang berusia 97 tahun itu sebaliknya memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada gerakan orang Melayu bagi mendapatkan hak mereka di negara ini.
“Saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, tetapi akan aktif menyokong gerakan orang Melayu yang mahu ada bahagian mereka di negara ini.
“Tidak mahu negara ini menjadi negara orang lain, tetapi melibatkan pelbagai kaum kerana ramai sedang menolak Melayu untuk jatuh dan terus menjadi miskin
“Ini adalah objektif saya untuk tidak lagi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang akhbar khas yang berlangsung di Hotel Sama-Sama di Sepang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjelaskan tentang Proklamasi Orang Melayu.
Pertemuan berkenaan, tegasnya, bukan untuk mendapat sokongan tetapi mahu menjelaskan isu membabitkan orang Melayu secara keseluruhan.
“Saya memang nak bertemu dengan beliau untuk menerangkan mengenai orang Melayu keseluruhannya dan bukan untuk menyokong sesiapa.
“Sebelum Aidiladha sukar (berjumpa Muhyiddin) sebab esok sudah raya. Jadi, saya akan berjumpa beliau bagi menerangkan tentang tujuan pelaksanaan Proklamasi Orang Melayu,” katanya.
Dr Mahathir menjelaskan, orang Melayu kini sudah hilang hak mereka sendiri meskipun di negara sendiri.