Cubaan seludup beras 10 tan dari Singapura gagal
Kegiatan terbongkar melalui pemeriksaan ke atas lori bawa makanan haiwan

BANGI, 10 Zulhijjah 1444H, Khamis – Cubaan menyeludup masuk beras seberat 10 tan yang bernilai RM50,000 dari Singapura berjaya dihalang Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru semalam.
Jurucakap MAQIS berkata, cubaan penyeludupan itu terbongkar menerusi pemeriksaan dijalankan terhadap sebuah lori yang diikrarkan membawa masuk makanan haiwan di laluan lori import kira-kira 12.30 tengahari semalam.
“Hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan, MAQIS menemui 10 guni besar berisi beras dan setiap guni memuatkan kira-kira 1 tan beras tanpa diikrarkan.
“Kemasukan beras import ke dalam negara adalah dikawal menerusi kelulusan AP import oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras,” katanya dalam kenyataan, hari ini
MAQIS menjelaskan, pemandu berusia 32 tahun itu kemudiannya dibebaskan selepas siasatan.
“Namun kesemua beras akan diserahkan kepada Pihak Kawalselia Padi dan Beras Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.