Sudan isytihar gencatan senjata pada hari pertama Aidiladha
Komander RSF mahu tubuh kerajaan sendiri atas 'kesengsaraan' rakyat

KHARTOUM, 10 Zulhijjah 1444H, Khamis – Pemimpin de facto Sudan dan ketua angakatan tenteranya mengisytiharkan gencatan senjata ‘unilateral’ pada Selasa, pada hari pertama Aidiladha.
Dalam ucapannya di televisyen negara, Abdel Fattah al-Burhan berkata, seluruh dunia sedang menyaksikan apa yang berlaku di Khartoum, Ubaid, Zalin dan Nyala serta peristiwa di Junaynah – yang mungkin jenayah penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.
Sambil mengatakan bahawa angkatan bersenjata memenuhi tanggungjawab mereka terhadap ‘konspirasi khianat’, Abdel Fattah mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sudan kerana menyokong angkatan tentera.
Beliau berkata, komander Pasukan Sokongan Pantas (RSF), Mohamed Hamdan Dagalo juga dikenali sebagai Hemedti – yang berkonflik dengan tentera sejak 15 April – mahu menubuhkan kerajaannya sendiri di atas ‘kesengsaraan’ rakyat Sudan.
Beliau mengulangi bahawa angkatan tentera bersedia menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam yang dipimpin rakyat Sudan.
Sementara itu, Hemedti turut mengisytiharkan gencatan senjata ‘unilateral’ pada malam dan hari pertama Aidiladha.
Pada 15 April, pertempuran antara tentera Sudan dan RSF di Khartoum dan kawasan sekitar mengakibatkan lebih 600 orang terkorban manakala ribuan yang lain cedera.
Sudan sebelum ini tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila tentera menggulingkan kerajaan sementara yang dipimpin Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.
Tempoh peralihan Sudan, yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, telah dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. – Agensi