Bakar al-Quran perbuatan berlandas kebencian, ideologi ekstremis
Hak kebebasan suara patut digunakan secara bertanggungjawab, ambil kira perasaan orang lain

BANGI, 11 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menyifatkan perbuatan membakar al-Quran, baru-baru ini di Sweden adalah satu manifestasi jelas sokongan terhadap ideologi ekstremis.
Perilaku ini adalah berlandaskan kebencian dan rasis yang tidak dapat diterima, demikian kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, tindakan tegas pada kadar segera perlu diambil bagi menghentikan perilaku yang menyinggung umat Islam ini, dan bukannya melindungi mereka dengan alasan perbuatan itu adalah hak kebebasan bersuara.
Dr Zulkifli turut menyokong penuh kenyataan Imam Besar Al Azhar dan Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin, Dr Ahmed Al Tayeb, yang mengecam keras perbuatan biadab dua lelaki membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden.
“Kami mengecam pembakaran mana-mana kitab suci, termasuk al-Quran dan mengakui bahawa kebebasan bersuara harus digunakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira agama serta perasaan orang lain.
“Kerajaan, pemimpin agama dan organisasi masyarakat sivil mesti bekerjasama untuk menggalakkan dialog antara agama bagi memerangi Islamofobia serta menggalakkan persefahaman untuk mewujudkan dunia dengan kebebasan beragama dan kewujudan bersama secara aman dan dihormati,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm sehingga mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perbuatan biadab itu dilakukan dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Aidiladha.
Kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan Salwan Momika yang membaka kitab suci itu. Pada mulanya, Salwan dilihat mengoyakkan beberapa helaian al-Quran sebelum mengelap kasutnya.
Dia kemudian meletakkan hirisan bacon (hirisan daging khinzir yang disalai) sebelum membakar kitab suci umat Islam itu.
Sementara itu, seorang individu yang bersama Salwan pula dilihat melaungkan kata-kata menggunakan alat pembesar suara.
Insiden itu berlaku selepas polis meluluskan permit membenarkan dua lelaki terbabit melakukan perbuatan keji itu.