48 maut trak hilang kawalan
Angka kematian dijangka meningkat, ada mangsa terperangkap

LONDIANI, 12 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di persimpangan sibuk di Kenya apabila sebuah trak hilang kawalan dan merempuh beberapa kenderaan.
Komander polis tempatan, Geoffrey Mayek berkata, 30 orang lagi cedera parah dan dikejarkan ke pelbagai hospital.
Beliau menjangkakan jumlah kematian mungkin meningkat.
“Setakat ini pihak polis boleh mengesahkan 48 maut dan kami mengesyaki satu atau dua mangsa masih terperangkap di bawah trak.
“Kami mengesyaki sebuah trak yang sedang dipandu… ke arah Kericho hilang kawalan dan merempuh ‘matatu’ (bas mini) yang sesak di perhentian bas sekali gus mencederakan penumpang serta pejalan kaki yang berdiri di tepi perhentian bas, ” katanya.
Sementara itu, Doktor Senior di Hospital Daerah Kericho, Collins Kipkoech berkata, kemudahannya setakat ini menerima 45 mayat manakala lebih ramai mangsa dibawa ke hospital lain.
Menurutnya, operasi menyelamat masih diteruskan.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan, hujan lebat menghalang operasi menyelamat. – Agensi