Anwar patut gantung tugas King Sing hingga siasatan selesai
Kalau ada bukti serahkan pada SPRM, bukan terjah ruang kerja Imigresen tanpa hormat

BANGI, 14 Zulhijjah 1444H, Isnin – Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap Datuk Seri Tiong King Sing meskipun sudah hampir lima hari Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu terbabit dalam kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, tindakan yang sepatutnya Perdana Menteri lakukan adalah menggantung tugas menteri yang menerobos masuk ke ruang keselamatan KLIA itu, sehingga siasatan selesai.
“Kerja-kerja terjah ke ruang kerja Imigresen ini bukan kerja seorang menteri apa lagi melabelkan pegawai sebagai menerima rasuah.
“Jika ada bukti, serahkan sahaja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semua agensi di bawah kerajaan, siasatlah dan buatlah pendakwaan. Bukannya terjah tak hormat pegawai seperti itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Ahmad Fadhli bagaimanapun yakin Anwar tidak akan bertindak ke atas King Sing yang mendakwa wujud budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa kronik oleh segelintir pegawai Imigresen di pintu masuk negara.
“Apa yang PM akan lakukan ialah, ‘..kita serahkan kepada pihak berkuasa, hormat tatakelola, hormat wewenang…’ sambil buat lawatan dan selfie manakala menteri pun bebas seperti tiada apa-apa yang salah.
“Lihat sahaja isu menteri di Kementerian Sumber Manusia (KSM), begitulah kaedah pentadbiran kerajaan sembang hari ini,” katanya dipercayai merujuk kepada skandal rasuah isu pengambilan pekerja asing membabitkan pegawai KSM.